Tuesday, August 05, 2008

Kelantan tuan rumah Forum Perniagaan Muslim Antarabangsa ke-3

KOTA BHARU: Forum Rangkaian Perniagaan Muslim Antarabangsa membabitkan usahawan Muslim dari seluruh dunia akan diadakan di sebuah hotel sini bermula 9 Ogos ini.

Ia dijangka disertai 150 peserta. Sehingga hari ini seramai 100 peserta telah mengesahkan kehadiran. Antaranya dari Filipina, Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Thailand, India, Singapura, Dubai, Kemboja dan China.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Forum tersebut, Haji Zulkifli Mamat berkata, Sri Langka, India dan Bangladesh akan menghantar rombongan peserta paling ramai.

"Fokus forum tahun ini kepada negara-negara di Asia Selatan di mana ia akan membuka peluang kepada usahawan Muslim meneroka perniagaan di negara China," katanya pada persidangan media di sini, hari ini.

Forum merupakan kali ketiga diadakan dan tahun ini bertema Growth Through Partnership-Start From Within.

Penyertaannya terbuka kepada semua ahli perniagaan, kakitangan kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang berminat dari seluruh dunia.

Zulkifli yang juga Adun Pulai Chondong berkata, perniagaan peringkat antarabangsa mampu membuka minda ke arah kecemerlangan di samping mewujudkan jaringan informasi di kalangan usahawan Muslim.

Ia dianjurkan bersama Persekutuan Belia Islam Asia (AFMY), Pupuk Nilai Murni Berhad dan kerajaan Kelantan diadakan selama dua hari.

"Forum tersebut diadakan bertujuan mengumpul dan menyatukan peniaga dan usahawan Muslim dalam pelbagai bidang dan kepakaran untuk bekerjasama bagi menjana keutuhan ummah.

"Forum ini akan menjadi sumber rujukan dalam urusan perdagangan Islam di Asia bagi mencari peluang perniagaan, rakan kongsi dan nasihat serta pandangan,"�ujarnya.

Menurutnya juga pelajar institusi pengajian tinggi termasuk Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) dan Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) berpeluang mengetahui perkembangan perniagaan di kalangan orang Islam negara lain.

Forum pertama diadakan pada Ogos 2006 dan kedua Julai tahun lalu yang berjaya mewujudkan rangkaian pemasaran di kalangan peniaga Muslim.

Forum tersebut dijangka dirasmikan Menteri Besar Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz�Nik Mat pada pagi 9 Ogos ini.

Sumber: Harakahdaily